Sunday, June 18, 2017

Kisah Kelahiran Secara Hypnobirth

Salam dan hai pembaca yang sudi singgah di blog saya. Lama saya tidak bersiaran. Rindu sangat nak menulis blog. Sebab saya lama hilang di persada blog ini adalah kerana saya sedang detox anak saya dari menggunakan komputer, maka dengan maknya sekali tak dapat menulis blog kesayangan ini.

Pengalaman Kelahiran Anak Pertama

Okeh berbalik pada tajuk di atas, lama saya peram kisah kelahiran anak-anak saya ini. Sedikit ringkasan, bagi kelahiran anak pertama saya, dia dilahirkan secara emergency czer, waktu tu dah buka 10cm, dah vakum dua kali, tetapi masih tidak berjaya, keadaan sangat cepat dan kelam kabut pada waktu itu, oleh kerana tidak berjaya vakum dan dimaklumkan heartbeat baby lemah maka emergency czerlah saya.

Bermulalah kehidupan saya sebagai seorang ibu yang baru operate, tidak reti menyusukan anak, anak menangis sahaja, ada pula suara-suara sumbangsih mengatakan "eh orang sekarang senang-senang je czer, la czer ke?, tulah bersalin lagi hospital swasta, mesti banyak dosa ni", dan macam-macam lagilah. Mentang-mentanglah yang cakap tu bersalin normal kira dah cukup syaratlah jadi ibu, duhh, mata pandang ke atas ...sabar jelah, doa yang baik-baik sahaja pada yang mulut serupa dot dot dot ni.

Dengan emosi tak menentu dan tiada ilmu langsung tentang kelahiran dan penyusuan, saya merasa sangat kecewa, penat dan tidak gembira sepanjang berpantang, siap minta ubat anti depresi pada ibu saya, kemudian sekali sekala saya akan trauma dan kembali menyalahkan diri saya. Memang salah saya sendiri kerana tidak menggali ilmu kelahiran, penyusuan dan penjagaan lain-lain. Fokus saya hanya pada persiapan barang-barang baby. Shopaholic sangat.

Namun alhamdulillah saya berjaya menyusukan anak sepenuhnya walaupun mendapat pelbagai penyakit dari menyusu termasuklah mastisis dan milk blister. Saya menganggap diri saya gagal kerana melahirkan anak secara czer. Walaupun begitu saya lebih aktif membaca mengenai proses kelahiran gentle, dan mengenali nama-nama yang terkenal seperti Soo Wai Han, arwah Maria Zain, Sofia Azyze, Ayuni Zainuddin dan sebagainya

Mengandung Anak Kedua

Tup-tup saya mengandung anak kedua setelah anak pertama saya berumur 3 tahun. Kali ini saya nekad untuk melahirkan anak secara normal atau mengikut kondisi saya ini vbac(vaginal birth after cesaerean). Saya membuat pembacaan mengenai penjagaan ibu semasa mengandung dari awal iaitu dari segi pengambilan supplement, superfood, menjaga diet walaupun hakikatnya memang sedia obes dah, dan banyakkan membaca Fb Gentle Birth untuk menimba ilmu sebanyak mungkin. Saya menyimpan hasrat untuk mengikuti kelas Hypnobirth tetapi saya mempunyai kekangan wang dan masa. Kebetulan masa itu saya ternampak Cikgu Ayuni ada membuat kelas intensif dan boleh membuat pembayaran secara ansuran, maka apa lagi saya senyap-senyap membayar tanpa memberitahu suami. Pada masa itu kandungan saya lebih kurang 8 bulan tidak silap. Pada masa itu masih tiada seminar HypnoBirthing hanya kursus atau kelas sahaja,


Kursus HypnoBirthing Cikgu Ayuni

Saya memilih kelas intensif kerana kebetulan kelasnya di Bangi dan suami saya yang sangat-sangatlah keberatan dan liat untuk mengikuti kelas antenatal HypnoBirthing ini. Memang selesa sangat-sangat kelas saya kerana saya menumpang sekali di rumah rakan HypnoBirth yang cantik dan tuannya Intan Suryani juga sangat cantik dan baik orangnya. Sepanjang kelas saya berasa macam-macam; gembira, sedih, kelakar, terkilan, terkesan, teruja, semua ada all in one. Banyak sangat ilmu Cikgu Ayuni share. Ada satu ketika saya menangis kerana saya masih tidak let go sepenuhnya perasaan bersalah semasa melahirkan anak pertama dahulu. Suami saya sampai tertidur sewaktu praktis hypnosis. Kelas apa ni best sangat, datang-datang boleh tidur ahahah. Okeh itu hanya 5% sahaja saya cerita, untuk keterangan yang lebih mendalam anda boleh mengikuti Seminar Womb2Room yang dianjurkan oleh Womb2Room di link ini


Doktor Pilihan

Berbalik pada doktor pula, hasil dari pembacaan saya, saya telah memilih Dr. Tan Ee Ping sebagai doktor yang bakal menyambut anak saya bersalin nanti. Beliau menerima saya dan memberi semangat bahawa tiada masalah untuk saya melahirkan anak secara normal. Maka saya semakin yakin dan membuat 'birth plan'. Apa yang saya suka dengan Dr. Tan dan teamnya ialah nurse yang sangat peramah, dan mengetahui tentang gentle birth. Apa yang tidak berapa saya gemar adalah setiap kali berjumpa doktor saya terpaksa discan sebanyak dua kali. Saya risaulah kalau banyak sangat kena scan, takut mudaratkan baby. Apabila discan doktor akan mengatakan baby ok, dah pusing tetapi bawah rahim masih kosong atau dalam perkataan lainnya bayi masih tinggi dan tidak engage. Rupanya tersimpan misteri kenapa doktor selalu mengatakan ruang bawah rahim saya kosong itu.

Visual Birth Plan.

Laki Bini Nesting

Sejak balik dari kelas Cikgu Ayuni, suami saya mula berubah, wahhh macam apa je bunyi. Suami saya berubah perspektifnya tentang kelahiran, kelahiran bukan tanggungjawab saya seorang tetapi kami suami isteri. Nesting seperti biasa saya mulalah mengemas bilik, mencari katil bayi yang sesuai. Suami saya pula sibuk mengecat dinding, memasang wallpaper, wahh siap wallpaper, memasang vinyl lantai dan macam-macam lagilah dah macam nak sambut menantu pun ado. Tak pernah-pernah buat perangai macam ni. Mimpi ke? haha..Selalu suruh baiki tombol pintu pun berzaman tunggu krik krik. Tq hubby! Bersungguh-sungguh pula kali ini. Okeh apa pun saya happy bilik jadi cantik untuk menerima cahaya mata kedua saya ini.
Anak sulung pun bantu ukur bilik


Wallpaper siap, Vinyl flooring dalam progress


Hari Kejadian

Masih saya ingat sehari sebelum melahirkan anak saya, saya sempat ke Senawang untuk mengambil katil custom made untuk baby saya, kemudian saya ke pasar Nilai dan membeli sukun untuk membuat sukun goreng. Sampai di rumah, saya sendiri dalam keadaan hippo paus mengangkat katil naik ke atas, punyalah semangat nak hias bilik. Kerja gila mak buyung angkat katil. Selesai mengangkat katil baby, saya turun bawah dan menggoreng sukun untuk suami. Malam itu saya pun makan sukun, dan bersedia untuk tidur. Sebelum tidur saya terasa seperti period pain, Tapi saya rasa takde apalah dan saya tidur. Terjaga jam 3 pagi kerana rasa seperti period pain yang mild, saya pun pergi kencing, sebaik sahaja saya bangun saya rasa ada birth show yang sedikit. Okeh tidak apa, selepas kencing saya tidur balik.

Jam 4 saya bangun, dan saya cuba mengira period pain mild yang saya rasakan. Saya berkata di dalam hati, ini macam nak bersalin kot, berbeza dari anak yang sulung, sakitnya contraction seperti dipukul di belakang badan . Setelah itu, saya bangun dan mandi air panas dan fokus pada pernafasan. Lama saya mandi kerana surgesnya sangat konsisten dan saya semakin yakin ini pasti surges yang sebenar dan kemungkinan besar saya pasti akan bersalin pada esok hari. Selesai mandi saya kejutkan suami dan beritahu saya rasa saya akan bersalin hari ini. Suami saya menelefon Kak Yati nurse Dr Tan Ee Ping, dan saya wassup Cikgu Ayuni untuk memberitahu keadaan saya. Sementara menunggu Subuh, saya duduk di gym ball sambil makan kurma. Sebelum bertolak saya memeluk anak sulung saya first time akan berpisah lama ni, perasaan masa tu sedih sangat macam bakal kehilangan dia..miracle dia tak jaga langsung. Salam ibu dan bapa saya dan selepas itu kami bertolak menuju Hospital Pantai Cheras. Nasib jalan tak jem.


Persinggahan Sebelum Sampai di Hospital

Saya merasakan surges semakin kuat, tetapi saya sangat lapar dan kami berhenti sekejap di Restoran Mamak untuk makan. Suami saya meminta saya orderkan roti canai, telur dan teh tarik  sementara dia ke bilik air. Wah Wah, tenangnya suruh, saya tengah surges ni, so saya pun order mengikut timing bila surges datang saya diam sekejap, lepastu saya sambung order. Tataulah mamak tu perasan ke tak. Sampai makanan kami makan dan terus menuju ke hospital.

Di tepi hospital kami masih lagi di tempat parking, kerana suami saya agak malu nak keluar nak bawa barang macam nak bercuti sebulan. Tak travel light langsung hahahah, "apa ni banyaknya beg yang??". Saya ada bawa beg makanan, beg baju, beg untuk isi fail, gym ball pun ada tapi kena isi anginlah, beg makeup..wajib walaupun beza langit ngan bumi dengan Kate Middleton atau Che Ta at least naklah gak muka dalam keadaan siap dan tak comot atau busuk.. adehh "Ala rileklah hubby jomlah jalan".. Saya berjalan bersama-sama dari parking menuju ke hospital, masih terbayang semasa anak pertama dulu suami drop saya di emergency dept, pak guard dan nurse semua panik ambil wheel chair. Kali ini saya berjalan sambil layan surges dan menghirup udara segar waktu pagi...

Di Hospital

Di hospital saya duduk di ruang menunggu sementara suami saya membuat pendaftaran dan pembayaran. Saya berasa agak malu kerana saya merasakan surges saya semakin kuat, dan saya tidak mahu create scene buat orang lain yang panik. Jadi saya pun berjalan-jaln sambil melayan surges. Selesai pendaftaran semua saya masuk ke Bilik Bersalin dan menunjukkan birth plan saya. Nurse meminta kebenaran untuk cek bukaan. "Oh dah 8cm ni". Biar betul, dulu saya masa 1cm sakitnya rasa macam dah tak boleh move on dah tobat takmau mengandung. Saya terus wassup untuk inform Cikgu Ayuni. Saya sangat gembira kerana tidak lama lagi saya bakal melahirkan baby dan melihat anak perempuan saya.

Keadaan bilik bersalin seperti yang saya inginkan senyap dan lampu yang malap. Suami melakukan light massage belakang saya, sambil saya mengunyah kurma lagi. Tiba-tiba pop..bushhhhhh keluar air ketuban macam ombak rindu. Pengalaman yang tak pernah saya alami, semasa anak pertama air ketuban dilakukan secara 'arom'. Rasa bersalah sebab menyebabkan bilik basah, saya meminta maaf pada semua nurse, nurse-nurse sangat baik dan kata tak apaaa miss :)

Selepas itu nurse menyeluk lagi mengatakan yang dia tidak dapat merasa kepala tetapi kaki baby. Ok saya kata pada suami, tak apa saya bersedia apa saja sekarang, bersalin keluar kaki dahulu pun saya tidak kisah. Kaki pun kakilah bak kata Hang Cangkul.

Tidak lama selepas itu Dr. Tan yang cantik datang dan terus menyeluk, dan terus berkata dalam bahasa Mandarin dengan nurse di situ, namun saya dapat tangkap yang beliau mengatakan itu bukan kaki. Kalau bukan kaki itu apa doktor??. Muka Dr, Tan berubah, dan beliau berkata dengan lembut pada saya, "Far baby you melintang, you tak boleh bersalin normal, kena operate". Masa tu Allah sajalah tahu betapa hancurnya hati dan harapan saya pada masa itu, macam-macam benda saya fikir kat mana silapnya, namun tiada jawapan. Saya bertanya doktor dalam keadaan menahan surges dan terkejut mendengar pengumuman yang tidak disangka-sangka itu, "doktor tak bolehkah doktor pusing anak saya, tak ada cara lain ke doktor?". Doktor Tan mengatakan itu sahaja solution terbaik kerana ia sangat-sangat merbahaya bagi baby saya kerana tangannya terjuntai dahulu. Saya minta doktor bagi masa saya berfikir sebentar....

Saya terus wassup salah seorang sahabat baik saya yang menyokong HypnoBirthing. Saya lepaskan kekecewaan saya padanya dalam telefon, saya tidak mahu buang tebiat melalak pulak kat Bilik Bersalin, kerana saya masih rasional, dalam keadaan sedar tetapi pernafasan sahaja dah caca marba. Habis wassup, saya kumpul semangat baru, masih dalam keadaan tenang..saya pandang muka suami saya, dan dia juga tenang dan cakap "tak apa yang, it's ok, yang penting mummy dan baby selamat". Saya pun memandang Dr. Tan dan menyatakan persetujuan saya bagi melakukan czer. Nurse terus memberi borang persetujuan untuk dibedah. Dalam keadaan surges dan kecewa saya fokus baca isi kandungan borang sebelum sain, berbeza semasa anak pertama saya hanya sign tanpa membaca apa-apa. Sempat juga saya tick menu apa saya nak makan pagi, petang dan malam, dan saya memilih makanan paling sedap saya rasa huhuhu. Ok habis menanda borang-borang, saya pesan pada Dr. Tan supaya masih ikut birth plan saya yang asal kecuali apa yang berkaitan czer. Dia cakap ya, don't worry dear.

Apabila czer, saya dipindahkan di bilik lain, suami tak boleh masuk, sedihla sikit. Saya rasakan surges semakin kuat, saya disuruh membongkokkan sedikit badan saya untuk disuntik epidural. Saya rasakan seperti berkali-kali pakar itu menyuntik dan tidak berjaya, mungkin kerana badan saya yang sangat berlemak tebal dan mungkin badan saya masih belum betul-betul let go untuk dibedah, ada sekali saya mengatakan dengan tegas, "tunggu, tungguuu sekejap!!", Dr. Tan pun sama bantu saya dan cakap, "sekejap-sekejap jangan cucuk lagi, dia tengah surges ni". Dr. Tan memeluk saya dan membantu saya buat pernafasan sambil berjanji akan menjaga menjaga placenta dalam keadaan baik, dan menjaga baby saya, Selepas itu barulah badan saya menerima suntikan epidural tu.

Kali ini saya sedar apa yang berlaku sepanjang tempoh pembedahan. Jika dahulu saya tidur sepanjang pembedahan. Tidak lama kemudian, saya dapat rasakan baby saya dikeluarkan, dan terdengar Dr. Tan memberi arahan supaya delay cord clamping. Pada masa itu saya rasa happy sikit, kerana beliau ingat janjinya walaupun sibuk dok setel operate saya. Baby saya tidak menangis, tetapi ini tidak membimbangkan saya, kerana sudah diajar di dalam kelas. Baby diletakkan di sebelah kepala saya dan saya mencium baby saya kemudian kami terpisah sekejap.



Selepas Melahirkan

Tiba di bilik wad, dipendekkan cerita saya tidak dapat tidur, kerana oxytoxin melanda, tak lama lepas tu saya dapat jumpa baby saya, dan dia dalam keadaan sedar dan tidak seperti anak pertama saya yang tidur seharian selepas saya dioperate. Ini kerana doktor tidak menggunakan drug yang kuat seperti morphin dalam pembedahan kedua ini. Tq doktor. Saya berjaya menyusukan anak saya sebaik sahaja saya bertemunya.

Baby Tena berat 3.3kg

Kemudian Dr. Tan datang dan beritahu saya bahawa, beliau hairan kenapa baby boleh melintang tiba-tiba padahal seminggu sebelum bersalin baby dalam kedudukan di bawah. Dr. Tan menunjukkan gambar uterus saya dan mengatakan sebab kenapa saya terpaksa membuat emer. czer dua kali pada anak pertama dan kedua adalah kerana saya mempunyai uterus yang abnormal atau nama saintifiknya 'bicornuate uterus'. Make sense sangat kenapa Doktor selalu cakap rahim bawah kosong, baby tiada tempat untuknya turun. Ia bukan suatu penyakit, tetapi ia memang natural sejak saya dilahirkan.

Dr. Tan kata "you kena bersyukur kerana biasanya orang uterus begini susah dapat anak dan selalu gugur". Terkejut saya mendengar saya mempunyai uterus abnormal yang berbentuk seperti hati. Dr. Tan menambah lagi, "baby you tali pusat lilitnya 4 kali, longgar dan tidak bahaya", tetapi itulah yang selamatkan dia, jika tali pusat yang keluar dahulu, boleh menyebabkan kematian.

Saya terkesima lagi, cantiknya takdir buat saya. Saya redha dan terima dengan hati terbuka dan lapang dada. Saya ceritakan pada Cikgu Ayuni tentang uterus saya, Ayuni juga memberi kata-kata semangat pada saya dan yang paling penting saya kena tidur katanya. Baikkk cikgu

Uterus saya berbentuk seperti hati dan tidak lurus

Beginilah mungkin anak saya melintang

Petang itu, nurse Dr. Tan juga datang dan membantu  apa yang patut, sangat tenang dan profesional, memberi kata-kata semangat pada saya. Saya happy dan bersyukur dengan kelahiran kedua saya ini. Apa org kata 'healing birth'. Alhamdulillah

Perkembangan Anak Kedua Saya

Boleh saya katakan anak saya memang jarang sangat-sangat menangis dan mudah dijaga. Alhamdulillah. Cuma bila dah dua tahun ini, akalnya lain sikit lah, Bukanlah maksud anak pertama susah dijaga dan membebankan, kedua-dua anak saya sayang sangat. Tetapi perbezaan antaranya boleh saya lihat.

Suka senyum saja baby Tena

Kesimpulannya

Saya berjaya mendapat kelahiran yang melenyapkan kekecewaan kelahiran pertama saya, dan saya menemui jawapan kenapa saya tidak dapat melahirkan secara normal. Saya merasakan sangat-sangat berbaloi ilmu yang saya dapat dari kursus HypnoBirthing ini. Tujuan saya pergi untuk diri saya sendiri bukan untuk menunjuk mahupun mengikut trend.

Oleh kerana saya sudah pergi dan merasainya dan berpuas hati sangat dengan hasilnya, saya menyarankan kepada bakal-bakal ibu dan bapa, ibu-ibu tidak kisahlah anak kedua, ketiga atau kesepuluh pun masih tidak terlambat, atau sesiapa sahaja yang ingin mengetahui tentang HypnoBirthing ini. Ia terbahagi kepada dua iaitu SEMINAR WOMB2ROOM atau KURSUS HYPNOBIRTHING®. Jangan lupa masukkan kod Far27 bagi menikmati diskaun istimewa ini.



Peringatan

  • HypnoBirthing bukan bermaksud kelahiran di rumah.
  • HypnoBirthing bukan menentang doktor dan sebagainya
  • HypnoBirthing bukan antivaksin
  • Setelah selesai kursus, ibu harus rajin melakukan latihan sendiri supaya lebih bersedia dan yakin, tawakal dan positif.
  • Boleh diaplikasikan dalam apa jua jenis kelahiran, normal, czer, induce dan sebagainya
  • Kursus sekali dan boleh diaplikasikan seumur hidup maksudnya dalam apa jua situasi bukan untuk bersalin semata-mata. Jika mengandung lagi ada refresher class :)


Saturday, December 3, 2016

Review Foundation Bourjois: Air Mat dan City Radiance

Hai semua, lama sangat saya tidak menulis blog. Ini kerana saya sibuk dengan persiapan harijadi anak saya Tena ni. Saya telah menjadi tukang kayu dan membuat sebuah 'play kitchen' untuk anak saya. Pada masa yang sama saya juga bertukang membuat rak buku dan juga rak menyimpan mainan untuk mereka. Lebih kurang beginilah hasilnya. Sebab itulah blog kesayangan ini ditinggalkan krik krik krik gituu.

Play Kitchen

Rak Menyimpan Mainan

Rak Buku

Okeh, berbalik kepada review yang sepatutnya iaitu Bourjois Foundation Air Mat dan City Radiance. Oleh kerana pada sebelum ini kedua-dua foundation Bourjois berjaya mendapat hati saya iaitu Healthy Mix Foundation dan Healthy Mix Serum. Saya terus ter'grab' dua sekaligus kerana saya tidak boleh membuat keputusan yang mana satu yang mahu dibeli. Beginilah rupanya packaging kedua-dua foundation ini:

Review

Packaging: Sangat menyukainya, sangat mudah untuk membuka, menutup dan dibawa kemana sahaja. Kemas dan tahan lasak.
Kiri City Radiance dan kanan Air Mat

Tekstur: Kedua-dua tekstur hampir sama iaitu pekat dan tidak meleleh
Kiri Air Mat kanan City Radance

Warna: Agak sesuai dengan tona kulit saya. Saya memakai shades 04 Beige bagi kedua-dua foundation ini. Jika dilihat pada gambar di atas kesemua foundation hampir sama shades nya, tetapi City Radiance ada sedikit keorenan.

Bau: Air Mat - Baunya agak wangi yang agak kuat bagi hidung resdung saya ini
         City Radiance - Bau bunga yang lembut. oklah

Aplikasi: Saya menyapu dan meratakan dengan menggunakan jari, agak mudah untuk diratakan.

Hasil: 

Air Mat: Saya merasakan pori kulit saya kelihatan lebih besar dengan memakai foundation ini
           
City Radiance:Saya mengharapkan wajah saya akan kelihatan lebih 'brighten' dengan menggunakan foudation ini, tetapi tidak sehebat cc cream dari Korea.Ia juga sedikit oxidize dan warnanya bertukar gelap sedikit apabila lama memakainya.



Saya mengambil masa yang agak lama untuk review kedua-dua foundation ini kerana saya memakainya secara berselang seli setiap hari dan cuba melihat bagaimanakan kesannya pada kulit saya. Saya sedaya upaya mencari kebaikan atau aplikasi yang berlainan supaya ia masuk dan sesuai dengan kulit saya, namun hasilnya tidak memuaskan. Mungkin cara saya gunakan salah. Mungkin sekarang saya tidak menyukainya, tetapi apabila saya dapat cara yang terbaik menggunakannya mungkin hasilnya 'boom'. ahaa. Ini hanya pendapat jujur saya. Saya sangat menyukai Healthy Mix Foundation dan Healthy Mix Serum tetapi bukan yang ini. Ampun Bourjois.

Next Review: Maybelline Fit Me Foundation

Wednesday, October 12, 2016

Odbo Highlighter Review

Kesibukan melanda hakakk. Biasalah mak-mak ini. Tetapi minat terhadap mekap masih tidak terhenti. Hari ini saya ingin memperkenalkan satu highlighter yang murah tetapi kesannya sama sahaja seperti anda menggunakan highlighter hi-end. Odbo namanya. pernah dengar tak?



Kotaknya comel juga, ala-ala warna pastel gitu. Dalamnya pula macam gambar di bawah. Packaging biasa-biasa sahaja. Tetapi yang penting calitannya sangat pigmented.

Masa saya terima di bahagian tepi memang ada messy-messy sikit. Tetapi boleh diterima


Nah ginilah rupa calitannya. Jadi bila and mencalitkan di wajah, haruslah blend betul-betul agar tak kelihatan bercapuk. Jika ingin membuat efek hidung mancung memang kompom hidung anda akan nampak tinggi dari jauh, cuma jika anda ada blackhead, pastikan buang terlebih dahulu, kerana bukan hidung anda sahaja akan nampak ke hadapan, sekali blackhead2 akan menonjol.




Jika anda berminat, bolehlah wassup saya untuk mendapatkan harga yang menarik . Sila nyatakan anda pembaca dari blog, atau tersinggah blog saya untuk mendapatkan harga kasih sayang. wah kemahin lagi. No hakak 017-2409280 (Far),


Wednesday, September 14, 2016

Primer Pilihan

Hai semua, lama dah blog bersawang, anak-anak sakit maknya sakit jadi tergendalah sementara penulisan blog saya. Hari ini saya nak berkongsi dengan anda tentang primer sebelum solekan. Biasa tak anda pakai?. Saya pasti ada yang tidak biasa memakainya, ada yang hanya memakai moisturizer. Sebenarnya itu pun sudah cukup. Tetapi kulit saya jenis yang bila pakai moisturizer kemudian pakai pulak foundation dan mekap, muka saya akan cepat berminyak dan berpeluh. Jadi primer pilihan saya berbanding pelembab muka.

Apakah itu primer?


  • Sebagai makeup base
  • Terdapat dalam dua warna kebiasaanya iaitu translucent dan tinted ala-ala warna foundation.


Apa kebaikan primer ini?

  • Makeup tahan lebih lama
  • Kurangkan perpeluhan, kan ada setengah foundation menyebabkan kulit anda tersumbat dan berpeluh.
  • Menutup pori-pori
  • Menutup garisan-garisan halus atau kedut
  • Senang nak sapu foundation sebab primer ini melicinkan permukaan kulit anda
  • Melembutkan kulit


Primer apa yang sesuai dengan kulit saya?
  • Ia sangat subjektif kerana ia bergantung pada jenis kulit anda samada anda memerlukan dari segi oil-control atau nak ia lebih hydrate.



Gambar di atas adalah di antara primer yang saya miliki. Setiap primer ini berlainan tekstur dan perasaan bila saya memakainya. Di bawah adalah review saya mengenai primer-primer tersebut

1. Benefit Porefessional

  • Sangat famous
  • Sesuai untuk kulit berminyak
  • Menutup liang-liang roma
  • Harga sedikit mahal
  • Warna tinted beige


2. Maybelline Baby Skin

  • Warna clear 
  • Bila pakai kulit terasa sangat licin
  • Tekstur seperti silikon
  • Kurang gemar kerana kulit cepat berpeluh

3. Kanebo CC Cream

  • Ia bukan primer tetapi jika anda tiada primer, anda boleh gunakan cc cream sebagai primer
  • Saya paling sukakan cc cream aka primer ini.
  • Makeup stay, tidak berpeluh, wajah nampak berseri sedikit
  • Tekstur yang creamy

4. Etude House Face Blur

  • Tekstur yang cair
  • Bau yang wangi, di mana saya kurang gemar
  • Menutup pori, mengurangkan minyak pada muka
  • Mekap tahan lama dan wajah nampak berseri

5. Honey Bee Venom

  • Makeup artist Malaysia ramai yang sukakannya
  • Saya pun sukakannya
  • Bau madu yang sangat menceriakan dan lembut sahaja baunya
  • Kulit akan terasa lembut sangat
  • Mekap kekal lama
  • Saya hanya pakai sekali sekala kerana saya masih sukakan pakai cc cream yang belum habis itu.

Sekian sahaja review saya tentang primer pilihan. Boleh share apakah primer pilihan anda?

Wednesday, August 24, 2016

Eyeliner Tips and Trick

Hai semua, bersawang sekejap blog prettytena ini kerana banyak hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Ok kali ini, kita cerita topik eyeliner. Saya merasakan eyeliner suatu perkara yang penting di dalam mekap. Kiranya kalau keluar rumah tak pakai bedak atau apa-apa mekap, at least kena ada eyeliner untuk mengelakkan mata saya keihatan penat. Saya mempunyai kelopak mata yang tebal, senang orang ingat saya mengantuk di mana-mana. Anda suka eyeliner bagaimana?


Okay, gambar di atas menunjukkan koleksi eyeliner saya mengikut jenis-jenisnya. Dari kiri,

  1. Tony Moly Eyeliner jenis gel yang dilengkapi dengan berus: Saya sukakan cara aplikasinya dan botol yang menarik. Tetapi kita harus mencuci berus setiap kali lepas digunakan kerana berusnya akan jadi keras.
  2. Etude House Liquid eyeliner yang super black: Saya sukakan warnanya, namun oleh kerana mata saya jenis berkelip berpuluh kali sesaat, agak sukar melakukannya. Apapun saya suka warnanya yang super black.
  3. All time favorite: Silky Girl Eyeliner. Saya tak tahu apakah jenis eyeliner ini, seperti crayon, mudah digunakan, cuma pusing sahaja. Sesuai untuk penggunaan setiap hari.
  4. Brand Viva: Pencil Eyeliner. Pun saya suka, kerana ianya sangat mudah digunakan, tidak comot, ada penutup, tetapi yang malasnya nak asah tu. 
  5. Rimmel Kohl: Jenis Kohl ini ia macam celak, sangat pekat dan hitam, tetapi kalau anda jenis senang berpeluh atau berminyak, ia boleh menyebabkan comot di bawah mata anda.
  6. Witch's Pouch Big Marker Skinny Brush Liner: Saya suka sangat eyeliner ini, mudah digunakan, warna hitamnya pekat dan mudah digunakan

Eyeliner Tips 

Winged Eyeliner

Anda sukakan winged eyeliner?, ada banyak cara untuk jadikannya winged, contoh dengan menggunakan kad, salotep, jenis berus yang bersesuaian, mana-mana pun boleh mengikut citarasa dan mana yang lebih mudah buat anda. Di sini saya berkongsi cara saya membuat winged eyeliner dengan menggunakan dua jenis eyeliner iaitu jenis crayon (Silky Girl) dan marker (Witch's Pouch)

1. Mula-mula saya gariskan eyeliner seperti gambar di atas (kiri). Stop sampai hujung, dekat hujung tu, buatlah garisan itu tebal sedikit, hujung tau bukan tengah yang tebal.
2. Kemudian dengan menggunaan marker liner buat wing dan sambungkan dengan eyeliner yang saya dah buat awal-awal tadi. 

- Saya suka gabungkan dua jenis eyeliner kerana jika saya menggunakan liquid eyeliner, biasanya ia akan jadi tidak kemas kerana mata saya berkedip non stop.



Eyeliner Ala-ala

Adehh nama tak boleh tahan. Ia sebenarnya seperti kita menggunakan teknik smudge, tetapi saya tidak akan smudge hanya menambah warna sahaja. Eyeliner jenis ini sesuai bagi tone down sikit eyeliner yang kita pakai, dan memberi efek natural dan lebih lembut.


1. Saya melukis mata dengan eyeliner jenis liquid.

2. Kemudian dengan menggunakan eyebrow powder, saya menyapu mengikut garis eyeliner itu tadi.

3. Siap, eyeliner seperti smudge tetapi tak perlu tonyoh gituuu.




Okay, sekian topik eyeliner kali ini, lama dah saya tidak buat review foundation. Tunggguuuu.

Wednesday, August 10, 2016

Tutorial Kening yang lebat

Hai semua, harini saya ingin berkongsi cara mudah melukis kening, bagi mereka yang mempunyai kening yang tebal, lebat, hitam dan tak bercukur. Tentu sukar kan nak membentuk kening yang sedia tebal dan hitam, adakalanya apabila melukis boleh menjadi lebih tebal dan kelihatan garang. Ok di sini saya tunjukkan step by stepnya.


  1.  Concealer: Conceal seluruh pelusuk kening anda termasuk bulu kening sekali, sampai jadi putih.
  2.  Berus flat top kabuki atau span: Ratakan dengan dap dap bukan sapu.
  3.  Pensil kening: Tak kisah brand apa, saya suka silky girl warna dark brown. Buat bentuk kening, dan warnakan 2/3 sahaja kening. Tinggalka kosong bahagian depan.
  4.  Berus flat: Ratakan apa yang dilukis dan diwarnakan tadi.
  5.  Spooli: Berus bahagian depan.
  6.  Pensil atau eyebrow warna hitam: Bagi nak nampak efek gradient, gunakan warna hitam di hujung-hujung sahaja. 
  7.  Concealer atau jumbo nyx milk: Warnakan atas dan bawah kening
  8.  Berus concealer: ratakan dan ikut bentuk kening yang telah dilukis tadi.
  9.  Dah siap!. 

Selamat Mencuba!

Thursday, August 4, 2016

Kailijumei Jelly Lipstick Review

Hai semua!, hari ini saya ingin membuat review, lipstick atau lebih tepatnya lipbalm Kailijumei. Apa istimewanya berbanding lipstick yang lain. Semestinya rupanya yang cantik dan memukau sesiapa sahaja yang memandangnya kerana rupanya seperti jely dan terdapat bunga kering di dalamnya.

Beginilah kotaknya. Biru kotak ini mengingatkan saya pada Estee Lauder


Warna Barbie Doll Powder

Eksklusif sangat rupanya. Cara buka juga kena tekan button dulu baru keluar bekas yang gold tu


Dilengkapi dengan cermin

Tekan, dan baru keluar lipstick. So lipstick takan terkeluar secara tiba-tiba

Walaweh lawanyaa.. nak pakai pun takut
Close up
Jika dilihat gambar di atas. warnanya macam sheer sahaja bukan. Tetapi ia akan menjadi berwarna setelah beberapa saat. Kulit bibir lebih nipis, ia lebih ketara.


warna pink yang lebih terang sikit dari warna asal bibir. Oleh itu secara automatik ia akan beri wajah lebih fresh dan tidak lesu. Dari segi ketahanan pula, sederhana sahaja, kita harus pakai semula selepas makan dan minum. Ia tidak menjadi masalah kerana lipstick ini sangat mudah digunakan dan dilengkapi dengan cermin. Secara keseluruhannya, saya amat menyukainya, kerana saya dapat mengangumi kecantikan jelly lipstick ini dan ia sesuai untuk pemakaian setiap hari. Tetapi saya terfikir adakah selepas kita guna berkali-kali sehingga lipstick ini habis, saya dapat merasa bunga kering tersebut. Kita tunggu dan lihat saja, Saya akan update lagi, itupun setelah ipstick ini hampir habis ye kawan-kawan.

Saya membeli lipstick ini dari instashop Kailijumei Malaysia secara preorder.